Ketakutan Orang-orang Soleh

9:51 am 0 Comments



Di sini dinyatakan beberapa ucapan sahabat-sahabat Nabi yang menunjukkan mereka takut tidak diterima amalan mereka.

Usman b in Affan r. berkata:

"Kalaulah aku berdiri di antara syurga dan neraka dan diberi pilihan kepadaku dua pilihan: 

  1. Menjadi abu api. 
  2. Dimasukkan salah satu tempat syurga atau neraka. 

Nescaya akan kupilih menjadi abu api."

Walaupun beliau beramal dengan amalan yang hebat dan orang yang hampir dengan Rasulullah tetapi dia lebih rela memilih menjadi abu daripada memasuk salah satu tempat syurga atau neraka. Ini kerana dengan pilihan kedua beliau tidak pasti layak menjadi ahli syurga atau tidak. Beliau takut jika memilih pilihan kedua menyebabkan beliau dimasukkan ke neraka.

Abu Zar al-Ghifari r.a telah berkata:

"Kalaulah kamu tahu apa yang aku tahu nescaya engkau tidak akan terlampau berseronok-seronok dengan isteri-isteri kamu dan tidak terlampau asyik berehat di atas tilam-tilammu. Demi Allah aku suka kalau Allah cipta aku semasa aku diciptakan dahulu sebagai sebatang pokok yang dimakan buah-buahnya."

Walaupun Abu Zar di antara sahabat Nabi yang terkenal tetapi beliau takut dengan amanah menjadi manusia kerana ia satu amanah yang berat dan beliau lebih suka kalau beliau hanyalah sebatang pokok yang tidak ada apa pun tanggungjawab di hadapan Allah.

Abu Ubaidah al-Jarah r.a berkata:

"Aku suka kalau aku hanyalah seekor kambing biri-biri lalu disembelih oleh manusia. Kemudian mereka memakan daging aku serta menghirup kuah dagingku."

Beliau amat takut dengan saat dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat sehingga lebih rela menjadi seekor kambing yang pasti tidak dibangkitkan unutk dihisab amalannya pada hari kiamat.

Huzaifah bin al-Yaman r.a

Ketika mana hampirnya saat kematian Huzaifah bin Yaman r.a, beliau telah menangis teresak-esak. Lalu ada yang bertanya "Apa yg kamu tangiskan?" Beliau menjawab:

"Aku tidak menangis kerana kesdihan kehilangan dunia bahkan kematian lebih aku cintai. Namun aku menangis kerana tidak tahu aku mati ini mendapat keredaan Allah atau kemurkaan-Nya."

Walaupun beliau adalah sahabat yang dipercayai Rasulullah kerana baginda telah menyimpan rahsia kepadanya sehingga beliau digelar 'Sahibu sirri Rasulillah', tetapi beliau amat takut untuk berjumpa dengan Tuhannya kerana tidak pasti adakah diterima amalannya oleh Allah atau tidak.

Salman al-Farisi telah berkata:

"Tiga perkara yang amat menyedihkan aku sehingga aku menyebabkan aku menangis ialah: 

  1. Berpisah dengan Nabi s.a.w dan para sahabatnya. 
  2. Huru-hara hari kiamat. 
  3. Berdiri untuk dibicarakan oleh tuhan dalam keadaan aku tidak tahu ke mana aku akan pergi, ke syuga atau ke neraka."

Inilah ketakutan sahabat Nabi s.a.w walaupun Nabi s.a.w telah menyatakan kelebihan beliau dlm sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah mengasihi empat orang sahabatku dan menyuruhku supaya mengasihi mereka. Mereka adalah:

  1. Ali 
  2. Abu Zar 
  3. Salman 
  4. Miqdad." 

(Hr Tirmizi dan Ibnu Majah)

Aisyah r.a Ummul Mukminin

Beliau adalah manusia yang dikasihi oleh Rasulullah s.a.w. Amru bin As pernah bertanya kepada Nabi s.a.w "Siapakah manusia yang engkau paling kasihi?" Baginda menjawab "Aisyah" (Hr BUkhari) Beliau seorang yang berpuasa setiap hari dan kuat bersedekah.

Pernah Muawiyah memberinya seratus ribu dirham dan beliau telah mengagih-agihkan kepada orang-orang yang memerlukan sehingga habis dalam masa tidak sampai sehari.

Walaupun begitu beliau manusia yang amat takut kepada Allah Taala sehingga beliau berkata: "Demi Allah aku lebih suka menjadi sebatang pokok, demi Allah aku lebih suka menjadi tanah dan demi Allah aku lebih suka supaya Allah tidak menjadikan aku."

Ucapan ini kerana beliau takut untuk memikul amanah Islam dari Tuhan, takut dihisab amalannya di hari kiamat dan takut tidak diterima amalannya kelak.

Kesimpulannya, manusia perlu takut tidak diterima amalan baiknya kerana tidak semua amalan diterima oleh Allah Taala. Amalan yang ada sifat riya', sombong, ujub dan sum'ah tidak diterima oleh Allah. Hanya Allah sahaja tahu sejauh mana keikhlasan dan kebersihan hati kita. Kita tidak perlulah mengaku yang mana kita ini baik, ikhlas atau sebagainya yang menunjukkan kita mengangkat diri kita. Firman Allah:

"Maka janganlah kamu memuji diri kamu sendiri; dan Dia lebih lebih mengetahui siapakah yang lebih bertakwa kepada Allah."
(32: an-Najm)

Sesungguhnya Allah telah memuji sifat orang-orang yang takut tidak diterima amalannya. Firman Allah s.w.t:

"Dan orang-orang yang menginfakkan harta-harta yang dikurniakan kepada mereka dan melakukan pelbagai jenis kebaikan tetapi hati-hati mereka gementar ketakutan. Ini kerana mereka yakin bahawa mereka akan kembali kepada Tuhan mereka."
(60: al-Mukminun)

Aisyah telah bertanya pada Nabi s.a.w berkenaan dengan ayat ini

"Adakah orang-orang yang takut ini adalah orang-orang yang meminum arak dan mencuri?" 

Rasulullah s.a.w menjawab:

"Bukan begitu maksudnya wahai anak perempuan Abu Bakar as-Siddik tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, mendirikan solat, bersedekah dan mereka takut tidak diterima amalan mereka."
(Hr Tirmizi)

Marilah kita meningkatkan kualiti amalan kita dan sentiasa muhasabah amalan yang telah kita amalkan. Tangisilah kekurangan yang telah berlaku sebelum kita menangis pada hari kiamat.

Rujukan: Makhawifus Solihin Min Adami Qabulil Amal oleh Dr Muhammad bin A'zuz.

Sumber: Cina Islam

0 comments: