Ada Apa Dengan Hari Ini?

1:53 pm 3 Comments




Istilah nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.
Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Nakbah Palestin (يوم النكبة - Hari al-Nakbah) pula merujuk kepada penubuhan negara haram Israel yang telah diisytiharkan secara rasminya pada 15 Mei 1948.

Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya.

Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,''Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh.

Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya.

Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.

Jenayah ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.

Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.

sumber: Studiokini

3 comments:

syabab dakwah said...

terima kasih atas info berkenaan...masa kat sekolah dulu seringkali diingatkan ttg peristiwa di atas...
-ISLAMIC WARRIORS FEAR NOTHING-

syafiqah said...

bukn sekadar ingt... perlu diikuti dengn perlksanaan... saat ini, mungkin ada saudara kita disana yg sedng diacukn senpng, & mereka pula hanya bersenjatakn batu & kayu... mungkin juga rumh mereka sedng dirntuhkn & mereka hanya mampu meliht... peluru menghujani dr atas kepala mereka...tp kita disini???

boikot ape yg perlu diboikot selagi mana mampu... iringi dengn doa & twkl... moga mereka dilindungi Allah... Moga kemengn milik kita... TAKBIR!!!

katy cuty said...

ALLAHU AKBAR!!!