Kenyangkan Dirimu Dengan Zikrullah, Laparkan Dirimu Dengan Maghfirah

11:13 am , 1 Comments




Assalamualaikum.

Alhamdulillah, kita masih diberi ni'mat Iman dan Islam pada hari ini, dapat bernafas melalui tiupan rohnya mengerjakan ibadah puasa pada bulan yang penuh rahmah dan barakah ini. "Orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa". Tidak kiralah walau siapa pun kita, hatta bakal ustaz mahupun ustazah, masing-masing ada tanggungjawab dan tuntutan yang perlu dipenuhi. Masing-masing ada kelemahan dan kekurangan yang perlu diatasi dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Oleh itu, janganlah kita menyangka diri ini sudah dapat menggapai ni'mat syurganya, andai kata kita baru melakukan sedikit sahaja amal ibadah, sedangkan junjungan besar kita Rasulullah SAW yang mana walaupun ma'sum, masih berterusan melakukan ibadah, sehingga bengkak-bengkak kaki baginda. Masya Allah, selawat dan salam atas beliau dan ahlul bait. Sebagai muslim yang mengaku mu'min, janganlah kita menyangka hanya dengan amalan sahaja melayakkan kita memasuki syurga-Nya, sedangkan harga syurga itu terlalu tinggi. Amalan-amalan yang kita lakukan hanyalah sebagai jalan atau thoriqah yang membawa kita menemui-Nya, mengenali-Nya. "Aku adalah perbendaharaan tersembunyi, Aku ciptakan makhluk unuk mengenali-Ku". "Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku". Sedarlah hakikat ini, Dia tidak memerlukan kita mahupun amalan kita, tetapi kita yang amat-amat memerlukan-Nya.

Sebagai peringatan kepada diri sendiri dan moga menjadi 'ibrah kepada semua, marilah berusaha meningkatkan 'ibadah agar berupaya menggapai redha-Nya. "Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di jalan-Mu. Berusaha meningkatkan amal ibadah, menjaga syariat dan ikhlas dalam amal perbuatan perlulah ditanam dalam hati. "Jadilah mu'min yang hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini. Celakalah mereka yang hari ini lebih teruk dari semalam, dan esok lebih teruk dari hari ini". Berwaspadalah kita dengan bisikan syaitan dan nafsu, kerana "Orang Islam tidak boleh jatuh dalam lubang yang sama dua kali". Andai kata hari ini kita melakukan kesilapan, segeralah kita memohon ampun dan bertaubat, kerana hati ini perlulah bersih dari sebarang titik hitam. "Ketahuilah, di dalam hati manusia itu ada seketul daging, jika baik maka baiklah juga seluruhnya, jika rosak maka rosaklah semuanya, yang demikiaan itu hati".

Bulan Ramadhan menjadi pentas utama bagi orang-orang mu'min berlumba-lumba mengejar masa melakukan amal kebaikan. Jika terlepas peluang yang diberikan ini, maka sia-sialah kita diberi ni'mat yang tidak terhitung oleh-Nya, wajiblah kita merasa malu dengan-Nya. Ramadhan membentuk peribadi muslim yang jitu, dan keadaan sebegini haruslah berterusan sehingga sepanjang tahun, bukanlah sekadar bulan Ramadhan sahaja. Tazkiyyatun nafs dan pembersihan jiwa adalah usaha berterusan dan berpanjangan, kerana nafsu dan syaitan tidak bisa melepaskan jiwa-jiwa anak Adam yang secara fitrahnya suci dan bersih. "Bekerjalah bersungguh-sungguh ibarat kita akan hidup selama-lamanya, dan beramallah seolah-olah kita akan mati esok hari". "Sesungguhnya orang yang paling pandai antara kamu ialah orang yang paling banyak mengingati mati", maka kejarlah kesempatan yang masih ada ini, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati". "Dekatnya kematian itu dengan anak Adam ialah ibarat dekatnya mata putih dengan mata hitam". Subhanallah.

Untuk perkongsian bersama, marilah kita mengamalkan zikrullah setiap saat dan ketika, kerana setiap makhluk itu sentiasa bertasbih memuji Tuhannya. Bahkan degupan jantung yang dielektrasikan dari pacemaker dan node itu juga setiap saat berdegup menyebut "Allah, Allah..". Di manakah letaknya harga diri kita jika kita sebagai khalifah diberi akal ini sombong dan takbur dalam mengingati-Nya? "Pada diri manusia itu, di langit dan di bumi, terdapat tanda-tanda-Nya, untuk orang-orang yang berfikir". Getaran zikrullah itu sendiri menghasilkan suatu macam gelombang dan fenomena yang membatasi hukum fizik itu sendiri, contohnya sehingga menukarkan "water pattern" itu dengan sesuatu yang indah, memukau panadangan manusia. dan jika perkataan-perkataan yang kurang baik disebut, gelombang itu menukarkannya kepada sesuatu yang hodoh jua. Zikrullah bukanlah sekadar menyebut nama-nama Zat yang mulia itu dengan mulut, bahkan menjauhi perkataan-perkataan yang kurang baik, nasihat, memikirkan ciptaan-Nya juga merupakan zikrullah. "Ketahuilah, dengan mengingati Allah hatikan menjadi tenang". Mu'min yang hampir dengannya ialah mu'min yang membasahi lidahnya dengan zikrullah, membasahi anggotanya dengan wuduk, dan membasahi matanya dengan tangisan taubat dan keampunan. Seperti mana nasihat ayah ibu kita jka kita dalam kepergian, "Jangan lupa sembahyang," kita hendaklah memahami bahawa wasilah perkataan itu bermaksud "Jangan lupa Allah". Solat membawa kita mengenali-Nya, tenggelam dalam lautan kasih sayang-Nya, atau dalam satu istilah lain "mabuk Allah". "Di mana menghadap di situ Allah". Bukanlah bermaksud Allah itu bertempat seperti pegangan wahhabiyah, pernyataan ini bermaksud "meliputi Zat Allah akan setiap sesuatu". Zikrullah menjadi makanan rohani, mengenyangkan jiwa-jiwa manusia yang dalam kelaparan. Jika zikir itu sendiri, misalannya, Allah Maha Besar, persoalannya besar manakah Allah? "Meliputi Ia akan sesuatu". Maha Suci Allah, suci macam manakah Allah itu? "Tidak menyerupai-Nya akan segala sesuatu". Syukur pada Allah? "syukur akan segala ni'mat-Nya".

Solusinya, jalan mengenal Allah itu sebenarnya terlalu hampir, dan dek kerana kehampirannya yang dimisalankan meletakkan buku di muka sehingga tidak dapat membaca, begitulah jua dengan-Nya, terlalu hampir dengan kita. "Aku lebih dekat dengan hambaku lebih dekat dari urat Marih". Bukankah urat di leher itu melekat, namun adakah Allah itu ibarat melekat dengan hamba-Nya? Allah itu tiada bertempat, dekatnya Dia diistilahkan dalam ilmu tasawwuf seperti dekat tiada bersentuh, jauh tiada antara. meliputi akan Dia". Renung-renungkanlah, kepada siapakah kita pasrah selama ini? Adakah kita menghampirinya, atau menjauhinya? Hakikatnya, Dia-lah yang paling hampir dengan kita, namun kerana keegoan kita yang menyebabkan kita jauh dengan rahmat-Nya secara istilah. Dampingilah para ilmuan, ulama' dan orang yang lebih mengetahui, kerana "Bertanyalah kepada orang yang lebih mengetahui". Tanamkan sifat cintakan ilmu, beriman dengan berilmu dan mengamalkannya, kerana ilmu tanpa amal ibarat ibarat pohon tidak berbuah. Jika kita tidak dapat menjadi orang yang berilmu, jadilah orang yang suka duduk dalam majlis ilmu, dan jika tidak mampu jadilah orang yang berdamping dengan majlis ilmu atau mengasihi orang-orang berilmu, dan celakalah golongan yang keempat". Sama-samalah kita berhijrah melakukan kebaikan. "Agama itu adalah nasihat, kepada Allah, Rasul-Nya dan kepada pemimpin kaum muslim dan rakyatnya". "Setiap kamu adalah pemimpin,...". "Tanda baiknya Islam sesorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya. Bentukkanlah jiwa yang tenang dalam maghfirah-Nya, kerana akhirnya kita akan dipulangkan kepada-Nya dalam perkampungan akhirat yang kekal abadi. Dunia ini hanyalah pinjaman, menjadi bangkai, dan perhiasannya ialah wanita, harta dan anak-pinak. "Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu....". Noda dan dosa meresahkan jiwa kita, oleh itu, hindarilah dengan zikrullah, dan sentiasa dahagakan maghfirah-Nya, Insya Allah. 

Yang baik dan buruk dari Allah, dizahirkan kepada ana dengan benih "kun-Nya". Mohon maaf dan pembetulan jika ada kesalahan. Wallahua'lam.

Dari pena yang faqir lagi hina~


1 comments:

syafiqah said...

Alhamdulillah...

Syukran atas peringatan wa mabruk `alaika...Satu altikel yang bagus...pada ana,kalau boleh,sentiasalah berzikir memujinya...Siapalah kita untuk melupainya walaupun sesaat...Siapa kita tanpa Allah...kita tak akan mampu hidup tanpanya,tetapi Allah akan tetap agung walaupun kita tidak memujinya...

tidak dinafikan,kadang2 kita terlupa untuk berzikir memujinya...itu lumrah kerana kita adalah manusia biasa yang pelupa...namun,apabila teringat,mohonlah ampun padanya...sesungguhnya,Allah itu maha pengampun lagi maha mengasihani...

pesanan buat diri ana yang sering alpa dalam melayari kehidupan dunia dan juga antum semua,...Sebelum matamu terlelap dari kesibukan dunia,ingatlah tuhanmu yang menjadikan siangmu d warnai dengan cabaran sebagai tarbiah dari-Nya..yang menjadikan malammu indah dengan cinta dan kasih sayang darinya..Apa yang didamba selain cinta seorang hamba kepada seorang pencipta.alunkan alunan zikrullah,basahkan lidahmu dengan rentak kalamullah...moga kita menjadi pengemis cinta ilahi,perindu syahdu sejati...

Serulah nama-Nya dengan alunan suara yang paling halus dan gemersik...ungkapkanlah....Insyaallah antum akan merasakan betapa manis,indah,syahdu,dan tenang kala itu serta atum akan terus hanyut dalam cinta-Nya...

moga Allah terus memilih kita untuk berada dalam agama ini dan moga kita termasuk dalam senarai mereka yang akan menghuni syurganya yang kekal abadi...