Cikgu, Alias, beruk dan …
Bismillahirrohmanirrohim....Cerpen bertajuk beruk ini pernah menyentuh hati ana pada suatu kem yang diadakan di Kem Hanifa, Gopeng suatu masa dahulu. Lalu pada kesempatan ini, ana kongsikan cerpen ini untuk tatapan insan yang bakal bergelar guru, bakal-bakal guru dan semua yang dapat mengambil pengajaran daripadanya. Mungkin ada yang pernah membacanya... Sekadar perkongsian, untuk semua, inilah kisah…
BERUK!
Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu  Sunan masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat  suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti  berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.
Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang  lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku  paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati  murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa  menentangnya.
Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia  pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang  basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid  yang datang lambat itu dengan bengis.
Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah  perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan  menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias  akan menerima habuan. Begitu selalunya.
“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya  menunjuk ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan  hitam. Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap.  Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan  dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.
Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.
“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai  menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid   yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan  baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam.  Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.
Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk  dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah  empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu  Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya  menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluarnya  yang lusuh itu.
“Kenapa kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias  tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia  akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya  bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang  lain. Tapi kerana dia datang lambat.
“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.
Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya  bukanlah sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di  sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela  seekor beruk.
“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias  dengan pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau  datang lambat?”
Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.
“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.
“Saya cari, cikgu!”.
“Dah jumpa?”.
Alias angguk. Tersenyum.
“Sebab itu kau datang lambat?”
Angguk juga.
”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun  macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.
“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur.
Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan  hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor  semut.
“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.
“Tidak cikgu, saya…”
“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu  penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang.  Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya  berdengung. Mukanya merah.
Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.
“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi  beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain.  Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat  Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang  terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya  dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air yang  bertakung.
Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas  desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah  berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan  kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya  terhadap Alias.
Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi  undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah  ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang  menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu  bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia  berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar semula  hingga tamat. Dia menyesal.
Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas  bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah  Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu  guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.
Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit  yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan  lorong itu banyak pokok  “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.
Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala  terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak  datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu  tidak datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di  hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya  sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi  melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.
Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap  saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu  menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi  berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan  mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak  dapat turun.
Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya  kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang  ganas itu.
“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.
“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung”.
“Dia panjat pokok kelapa?”
“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik  lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat  buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang  boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung  jantan.
“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.
“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.
 Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.
“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.
“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.
Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia  termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu.  Alias membimbit dua biji kelapa.
“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum.  Orang tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan  anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak  terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata  orang tua itu dengan sedih.
Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika  apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak  percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar,  segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan  ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum  girang. Bersalam tangan.
Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh  bunyinya, kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum  pernah dilihatnya.
“Dia lama cikgu sampai ?” tanya Alias.
“Baru sekejap,” jawab Cikgu Sunan.
Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan  oleh Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara  garang. Alias menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap  melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru kepada tuannya.
Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.
“Dekat sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.
Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya  semasa sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya.  Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.
“Senget sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias  menyengetkan kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya  sedikit untuk memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan  tiba-tiba beruk yang sedang marah-marah dan melompat-lompat di halaman  tadi, melompat naik lalu menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk itu  menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.
Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut.  Suasana menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk  berlalu. Tapi tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus  menyerang Cikgu Sunan. Demi untuk  menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias  mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah  kelapa, lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut  beruknya. Cuma itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.
Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai.  Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang  kepada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air  jernih.
Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan  menahan darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di  lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing  tadi.
Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya  bagai satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran  yang asing.
Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air  matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk  kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu  tua itu tetap membisu. Dia tersedu-sedu.
“Terima kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di lengannya masih juga keluar.
“Cikgu sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.
“Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan, lalu turun dari rumah itu.
“Cikgu…”
“saya minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.
“Tak apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”
Alias duduk. Kaku. Sedih.
“Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi nasihat.
“Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.
“Kenapa?”
“Beruk… Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”
Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias  benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada  Alias merupakan tali perhubungan nyawanya selama ini. 
 Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang pintu lebih pilu lagi.
Azizi Hj Abdullah
Dewan Bahasa, Disember 1970
artikel asal: http://ibnrajab.wordpress.com/2009/05/27/cikgu-alias-beruk-dan/
.png)







3 comments:
tacink3~~ sambungan..?
nanti ble dah jadi cikgu, kita kene la prihatin kat anak murid kita.... x nak jd cam cikgu sunan tu...
BIG..hehe
Post a Comment