Kehebatan Ulama Melayu Ahli Sunnah Wal Jamaah

6:47 am 0 Comments

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya, “Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.

Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan.”

Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang dibentang dalam “SEMINAR baHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA” yang dibentang di Brunei Darussalam.

Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini, “Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.

Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata.”

Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini daripada pelbagai penyelewengan.

Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya mereka dalam pelbagai keilmuan. Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M – 1227 H/1812 M) menguasai sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M – 1325 H/1908 M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287 H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.

Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul Hasan al-Asy’ari (260 H/873 M – 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).

Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M – 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H – 179 H), Imam Syafi’ie (150 H/768 M – 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H – 241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H/910 M).

Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah

Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang saja.

Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.

Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.

l Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.

l Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis Shaaffin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Fat-hul ‘Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.

l Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil ‘Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

l Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul Majid fi Syarhid Duraril Farid fi ‘Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari’atul Yaqin fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra ‘alal ‘Aqidatish Shughra (1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

l Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan ‘Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Perhatian raja-raja Melayu

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh dan Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam akidah.

Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas, sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato’ Abdullah bin Abdur Rahman Muar dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada pendahuluan dicatatkan, “Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi].”

Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berjudul Al-’Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut diterjemahkan oleh Dato’ Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato’ Abdullah bin Abdur Rahman Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit Tauhidiyah.

Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman (1337 H/1919 M).

Pada halaman muka dinyatakan, “Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang Maha Mulia al-Mu’tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu’azhzham Syah Pahang …”.

Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul, itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

0 comments: