Realiti Universiti dan 'Primitifnya' IPG

7:34 am 18 Comments

Wujud sesuatu yang merunsingkan apabila dua sarjana tempatan 'menulis' tentang 'kompetensi' universiti di Malaysia baru-baru ini. Pertamanya adalah Prof. A. Murad Merican (Profesor Ilmu Kemanusiaan) Universiti Teknologi Petronas melalui artikel bertajuk 'Universiti kita ketandusan idea' tersiar di Utusan Malaysia (4 Oktober 2010); seterusnya disambut pula oleh Prof. Dr. Dzulkifli Abd. Razak (Naib Canselor) USM sendiri, juga di Utusan Malaysia (12 Oktober 2010) dengan tajuk 'Pendidikan: mencari kebenaran'.

Kedua tulisan di atas kemudiannya dikomen oleh saudara Amin Ahmad melalui nota Facebook-nya bertarikh 15 Oktober 2010. Tulisan ini juga adalah respon terhadap ketiga-tiga tulisan tersebut yang menurut saya, perlu dibaca bersama dengan entri dibawah.

Universiti dan IPG

Sebagai seorang graduan sulung IPG (Institut Pendidikan Guru) Malaysia yang kini berjumlah 27 buah semuanya seluruh negara, wujud keperluan yang mendesak untuk saya menjelaskan betapa perlunya 'kilang' yang memproduksikan jaringan guru-guru Malaysia ini untuk berubah dari sisi intelektual dan budaya pemikiran mereka.

Betapa kami dulunya menyambut baik usaha kerajaan menaiktaraf maktab-maktab perguruan menjadi Institut Pendidikan Guru (IPG) yang kemudiannya mampu mengeluarkan graduan sendiri dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (sebelumnya di peringkat Diploma sahaja). Namun yang demikian kerapkali saya nyatakan proses penaiktarafan ini jangan hanya bersifat artifisial yakni di peringkat dasar dan penjenamaan semula sahaja.

Yang lebih besar dari itu, penaiktarafan tersebut haruslah disertai keinginan dan iltizam Kementerian Pelajaran untuk menyediakan kesemua IPG sekurang-kurangnya berada hampir dengan status universiti di negara ini. Maka timbulnya persoalan; status universiti yang bagaimanakah perlu menjadi penanda aras (benchmark) kepada IPG tersebut?

Sehingga lahirnya graduan sulung (majlis konvokesyen sekitar Mac 2010), perubahan besar yang dilalui oleh IPG kebanyakannya hanyalah bersifat fizikal dan terlalu artifisial. Penjenamaan semula ini tidak menggalakkan perubahan budaya  kerja warga kampus IPG dan sikap administrasinya. Mahasiswanya jarang 'peka' dengan isu setempat, lagikan pula untuk kita mendengar mereka sensitif dengan isu luar negara; sikap mereka terhadap Palestin misalnya.

Berbelas tahun digeluti budaya pembelajaran gaya 'diploma', warga pendidik dan staf administrasinya juga gagal keluar dari 'kepompong selesa' - 'playsafe'. Pernah sekali saya ditegur kerana mengkritik 'Jawatankuasa Perwakilan Pelajar' kerana gagal menjadi sentral dalam menangani isu atau sekurangnya 'independen', jawapan yang saya terima dari pihak berwajib iaitu Hal Ehwal Pelajar adalah; "ini maktab, bukan universiti...".

Melihat hanya dari sisi 'gerakan mahasiswanya' yang lemah sahaja sudah cukup untuk kita nilai di sini bahawa; wujud jurang yang sangat jauh di antara 'kilang' guru yakni, pusat pengeluaran guru terbesar di negara ini dengan status universiti tempatan. Adalah sangat menyedihkan melihat perkara ini berlaku kerana IPG sepatutnya menjadi tulang belakang bidang pendidikan, menjadi ruang kepada para pensyarah menjuarai teori pedagogi mahupun penyelidikan dan yang lebih penting sebagaimana menurut Prof. Dr. Dzulkifli, universiti seharusnya menjadi tempat mencari kebenaran!

Boleh bawa kenderaan atau tidak?

Adalah sesuatu yang sukar saya fahami apabila timbulnya isu seorang pelajar IPG Kampus Ipoh menulis di sebuah akhbar tabloid mengenai kesusah-payahannya kerana tidak dibenarkan membawa kenderaan. Maka hebohlah di laman sosial 'Facebook' abang-abang 'senior' yang mengecam pelajar berkenaan kerana didakwa telah memalukan IPG tersebut.

Permasalahan utama yang sukar saya fahami adalah mengapa perlu wujud tindakan bersifat 'kecaman' terhadap pelajar berkenaan? Soalnya remeh, ya saya juga faham di mana-mana universiti sekalipun di dunia ini kebanyakannya tidak membenarkan 'freshies' membawa kenderaan.

Sebaliknya fungsi utama sesebuah institusi pendidikan iaitu 'mencari kebenaran' sudah ditenggelami budaya 'jangan-soal'! Para pelajar sudah tidak dibenarkan untuk menyoal jika gagal menemui kebenaran yang dikehendakinya! Kalaupun insiden ini terpencil atau kecil impaknya, sudah cukup membuktikan bahawa larangan 'speak-out' bukan sahaja dianuti oleh staf administrasi tetapi juga menjadi pegangan para pelajarnya sendiri!

'Freedom of speech' yang menjadi kebanggan mahasiswa mana-mana universiti sekalipun tidak dibudayakan di IPG! Maka kerunsingan yang jauh lebih besar sepatutnya dihalakan oleh para sarjana tempatan terhadap 'status' IPG itu sendiri sebagai medium pembentuk para guru di negara ini!

Jabatan Falsafah dan Mencari Kebenaran

Perkara yang paling menarik dalam tulisan Prof. A. Murad  adalah kerisauannya terhadap ketiadaan Jabatan Falsafah di universiti tempatan. Menurutnya sepuluh universiti terbaik di dunia, semuanya mempunyai Jabatan atau Fakulti Falsafah yang mantap!

Selari dengan perkara tersebut, Prof. Dr Dzulkifli kemudiannya menekankan fungsi utama sesebuah universiti adalah mencari kebenaran. Ini dikomen saudara Amin kemudian menambah, Prof. Awang Had Salleh 15 tahun yang lalu pernah menyuarakan dua fungsi klasik universiti iaitu mencari kebenaran serta mempersoal kembali kebenaran yang sudah mantap.

Sebab itu apabila memperkatakan tentang falsafah (philein - menyintai; sophos - hikmah; 'menyintai hikmah' dalam bahasa Greek) atau menurut Plato ialah 'kajian terhadap sesuatu yang benar' atau menurut Aristotle; anak murid Plato ialah 'kajian tentang zat sesuatu (being as being) serta penyebab utama (first principles)', dapatlah kita simpulkan betapa pentingnya kaitan mempunyai sebuah 'asas' atau 'foundation' iaitu sebuah Jabatan atau Fakulti yang dapat membimbing (guide) para pelajarnya untuk 'mencari kebenaran'.

Malangnya apa yang terjadi di Malaysia, sebaliknya. Selain sistem pendidikan yang sejak dari kecil diorientasikan kepada pencapaian (exam oriented); budaya ini dilegasikan dengan bangga oleh warga universiti melalui KPI (Key Perfomance Index) yang kononnya perlu dipenuhi oleh mereka! Maka wujudlah sebuah kilang yang operatornya (para pensyarah) sibuk memenuhi piawai KPI yang telah disusun atur oleh mandur (Ketua Jabatan); bertentangan dengan fungsi sebuah institusi pendidikan iaitu memberi bimbingan (guidance) kepada para pelajar untuk mencari kebenaran!

Kemahiran 'mencari kebenaran' inilah yang tidak diajarkan kepada para pelajar di negara kita. Tidak hairan jika mahasiswa tempatan tidak kenal dengan 'Thus Spoke Zarasthura' Nietzche, atau 'Fenomenologi-Hermeneutik' Heidegger, atau 'Deconstruction' Derrida, jauh lagi mengenal 'Discourse' Foucoult dan 'Le Morele' Descartes.

Sedangkan penubuhan universiti di Eropah terilham akibat kebanjiran ilmu dari Islam seperti kata Guillaume; "Sarjana dari Eropah melawat Sepanyol Islam untuk mempelajari falsafah, matematik, astronomi dan perubatan. Universiti tertua Eropah banyak berhutang kepada ilmu pengetahuan dari universiti di Arab".

Tetapi sebagai sebuah negara Islam,kita bukan sahaja anti-gerakan mencari kebenaran, sebaliknya menggunapakai teori-teori Barat yang sudah tentu berasal dari ilmu Islam tanpa usul periksa - sudahlah tidak berusaha mencari kebenaran, tidak pula berusaha untuk mempersoal kebenaran yang sudah dianggap benar!

Budaya Imitasi dan Sindrom Minda Tertawan

Betapa kroniknya sistem pendidikan kita; oleh kerana tidak dibenarkan (digalakkan) bersoal jawab untuk mencari kebenaran atau mempersoal kebenaran, semakin ke hadapan golongan mahasiswa dan ahli akademik universiti akhirnya menghidap penyakit 'Minda Tertawan' (captive mind) sebagaimana yang digelar Prof A. Murad.

Saya lebih suka menggunapakai perkataan 'ignorance state', iaitu keadaan di mana mahasiswa kita mahupun ahli akademik tidak lagi peduli kepada tujuan utama pendidikan iaitu untuk mencari jalan menyelesaikan masalah dan memperbaiki masalah masyarakat, sebaliknya bermazhabkan teori 'untung-rugi' ekonomi.

Krisis pemikiran ini menurut Taha Jabir al-Alwani menjadikan kaum Muslimin tidak lebih dari sebuah ternakan (lembu) yang diawasi tuannya (Barat). Mahasiswa sehingga dipersoal jika mengemukakan pendapat sendiri; 'siapa kamu jika ingin berpendapat sedemikian?' di dalam tesisnya, malah kajiannya dianggap 'jahat' jika tidak disandarkan kepada rujukan sebelumnya. Sedangkan sebuah pengkajian sifatnya bukan harus bersifat deskriptif semata, sebaliknya analisa kritikal juga memainkan peranan yang penting.

Maka apa yang terjadi kini adalah budaya 'imitasi'; mahasiswa lebih cenderung 'meniru' dari 'mempersoal',  'mengambil apa yang ada' daripada 'mencari' serta 'menurut' daripada 'bertanya'.

Di penghujungnya, mahasiswa terkurung dan terperuk dengan 'ke-superior-an' korpus ilmu Barat yang diterapkan kepadanya, larangan bertanya serta kelemahan dirinya sendiri untuk mencari kebenaran mengakibatkan mindanya tertawan!

Ignorance State

Kita runsing apabila membaca dua artikel sarjana di atas. Ya, universiti kita sudahlah tidak tersenarai sebagai 200 universiti terbaik, jauh dari itu budayanya juga lansung tidak lansung menggambarkan sebagai sebuah institusi pendidikan yang ikhlas untuk mendidik fungsinya.

Tetapi lebih dahsyat dari itu, IPG - sebuah institusi rekaan kerajaan yang kononnya ala-universiti; tempat merekrut para guru dan pendidik yang fungsinya nanti sebagai 'frontline' sistem pendidikan, jauh lebih primitif dari sisi budaya ilmu, penyelidikan dan pemikirannya.

Kita akan berdepan krisis modal insan (human capital) tidak lama lagi jika tidak berbincang secara serius tentang masalah ini sekarang. Atau sebagaimana yang saya nyatakan di atas, kita memang sudah dijangkiti penyakit 'ignorance'?

Penulis adalah graduan Bachelor of Teachership (Pendidikan Jasmani) dari IPG Kampus Ipoh (2009).


p/s: apa pendapat anda?

18 comments:

Pengumuman

7:30 am 1 Comments

Blog masih dalam peringkat pembangunan. Saya telah menukarkan template kepada yang mudah dibaca. Harap maaf atas sebarang kesulitan. Teruskan membaca blog kelas. Kali ini lebih terbuka, lebih panas dan berani. Jangan takut wahai rakyat Malaysia!

1 comments:

Tidak Betul Istilah: MANUSIA KHALIFAH ALLAH DI MUKA BUMI

10:19 am 1 Comments

MANUSIA KHALIFAH ALLAH DI MUKA BUMI.

الإنسان خليفة الله في أرض

Perbincangan ini ana pilih sebagai suatu kajian atau penelitian kepada kata-kata (Khalifah Allah) yang masyhur dan sering kita dengar ini samada dari para ustaz, penceramah yang lama atau baru, juga orang ramai secara umumnya. Mari kita cuba membuka minda melihat secara rasional pandangan ulama’ yang dikemukakan dalam buku ini, apakah istilah ini betul dan  wajar digunakan atau tidak sepatutnya.

Buku ini bertajuk;

لا يصح أن يقال: “الإنسان خليفة الله في أرضه” فهي مقولة باطلة

“Tidak Betul Untuk mengatakan Manusia Adalah Khalifah Allah swt di Muka Bumi.” Ianya hasil tulisan  Dr Abdul Rahman Hasan Habannakah Al-Maidani.




Buku ini telah ditulis pada Bulan Zulhijjah  tahun 1410H di Makkah al-Mukarramah. Risalah ini ditulis untuk menyatakan Butlan (tidak betul) kata-kata yang mayhur di kalangan ramai para pendakwah..

Sheikh telah menghuraikannya dengan kajian ilmiah bahawa tidak betul dan tidak benar istilah tersebut, kerana ianya menyentuh persoalan keselamatan Aqidah Keimanan kepada Allah swt, tanpa disedari oleh orang yang mengucapkannya bahawa terdapat didalamnya makna yang fasid (rosak), tidak boleh secara sengaja melafazkannya.

Risalah ini telah dibahagikan kepada beberapa bahagian;

1)   Muqaddimah Umum:

Istilah ini telah diucapkan/ditulis tanpa meneliti maknanya, berfikir kepada isi kandungannya… kemudian ia telah menjadi tersebar luas hingga dianggap sebagai suatu yang diterima oleh ahli fikir…

2)   Al-Bayan Al-Tahlili/Penjelasan secara teliti.

Al-Istikhlaf (minta pengganti) mengandungi makna tafwidh (menyerahkan) orang yang mengganti (pengganti) bagi khalifah-Nya (kuasa-Nya) yang mengandungi ciri-ciri keistimewaan-Nya. Maka dakwaan bahawa Allah swt menjadikan manusia khalifah-Nya di muka bumi, yang menjadi milik-Nya swt, atau dalam harta yang Allah swt adalah pemilik langit dan bumi, merupakan sebuah dakwaan yang mengandungi makna; Allah swt menjadikannya khalifah dari-Nya, mempunyai beberapa ihtimalat (kemungkinan) yang berikut;

a. Tafwidh / Penyerahan dalam menciptakan.
b. Tafwidh / Penyerahan dalam hukum, suruhan dan larangan.
c. Tafwidh / Penyerahan dalam kerja dan kuasa bertindak dalam alam semesta atau harta benda.
Tafwidh / Penyerahan: ialah memberi kuasa tanpa muhasabah (diaudit) dan diambil tindakan…

Khalifah adalah wakil, sama seperti penjawat asalnya, maka tidak boleh diambil tindakan ke atas wakil terhadap tindakannya dalam skop jawatan yang diberikan kepadanya. Jika tuan/ketua dia tidak thiqah (percaya) tentu dia tidak mewakilkannya…

Kemudian Sheikh telah menjelaskan secara terperinci setiap 3 perkara di atas dari ms10-20.

3)         Al-Khilafah mengandungi makna al-Wakalah.

Al-Khilafah ‘an Allah swt. Mengandungi makna mewakili dan tempat kembali..

4)         Semua hasil pengeluaran manusia samada yang dicipta atau rekaannya adalah makhluk Allah swt..

5)         Al-Taskhir (Allah swt mempermudahkan) segala hal di dunia ini kepada manusia bukan bermakna Tafwidh atau wakil atau khilafah dari Allah swt..

6)         Fikrah Al-Khilafah dari Allah swt adalah suatu kegelinciran fikiran yang merbahaya…

7)         Adakah manusia pengganti Allah swt dalam menguruskan harta? Sebagaimana yang diucapkan oleh ahli ekonomi…

8)         Fikrah Manusia Khilafah dari Allah swt adalah suatu bid’ah yang muhdathah (baru) tidak disebut oleh ulama’ salaf, tidak ada sandaran dari nas syara’…

Kebanyakkan pegangan yang dibuat mengenai istilah ini adalah ta’wil yang fasid… kisahnya suatu riwayat dari Imam At-Tobari rh dalam tafsirnya, Surah Al-Baqarah ayat 30:

تفسير الطبري – (ج 1 / ص 451)

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ 

ومفاد هذا الرأي أن آدم عليه السلام ومن هو مثله من الأنبياء والرسل خليفةٌ من الله في أن يحكم بحكم الله بين بنيه الذين سيوجد منهم من يفسد في الأرض، ويسفك الدماء.

.وآدم بعد هبوطه من الجنة وتوبته اجتباه الله بالنبوة، فصار نبيا معصوماً، والنبي المعصوم أهل لأن يستخلف في أن يحكم بحكم الله، إن شاء الله ذلك

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” [Al-Baqarah: 30].

Pegangan pendapat ini bahawa Adam as serta para nabi dan rasul yang lain adalah khalifah daripada Allah untuk berhukum dengan hukum-Nya dikalangan bani Adam yang akan wujud. Ada di kalangan mereka yang akan membuat kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah.

Nabi Adam selepas turun dari syurga, Allah telah memilihnya sebagai nabi, maka jadilah beliau seorang nabi yang ma’sum, berhak untuk dijadikan khalifah dalam melaksanakan hukum Allah jika Allah menghendaki sedemikian itu.

Terdapat juga dua pandangan lain dalam menafsirkan kalimah ini, [yang menunjukkan bahawa manusia itu bukan pengganti (khalifah) kepada Allah]. Iaitu pandangan ulama’ salaf yang dinukilkan oleh Imam At-Tobari rh;

a)  Sebelum kewujudan manusia di bumi ini, terdapat penduduk dari kalangan jin, yang telah melakuka kerosakan dan pertumpahan darah. Maka untuk menghalang mereka, Allah swt telah mencipta manusia untuk menggantikan golongan jin ini, maka jadilah istilah khalifah, iaitu pengganti kepada mereka yang sebelumnya (jin).

b)  Diantara ciri-ciri manusia itu mempunyia keturunan dan beranak-pinak (yatanasil), maka jadilah mereka pengganti (khalifah) kepada orang yang sebelumnya.

9)  Petikan dari Kitab Minhaj As-Sunnah:

Maqulah (kata-kata ini); Tidak boleh berkata: Bahawa Allah swt telah menggantikan seseorang dari-Nya…

منهاج السنة النبوية – (4/94-95)

“والخليفة لا يكون خليفةً إلا مع مغيب المستخلِف أو موته، فالنبي صلى الله عليه وسلم إذا كان بالمدينة امتنع أن يكون له خليفة فيها، كما أن سائر من استخلفه النبي صلى الله عليه وسلم لما رجع انقضت خلافته، وكذلك سائر ولاة الأمور، إذا استخلف أحدهم على مِصره في مغيبه بطل استخلافه ذلك إذا حضر المستخلف. ولهذا لا يصلح إن يقال: إن الله يستخلف أحدا عنه؛ فإنه حي قيوم شهيد مدبر لعباده، منزه عن الموت، والنوم والغيبة، ولهذا لما قالوا لأبى بكر رضي الله عنه- يا خليفة الله! قال: لست خليفة الله، بل خليفة رسول الله، وحسبي ذلك. والله تعالى يوصف بأنه يخلف العبد، كما قال صلى الله عليه وسلم: ((اللهم أنت الصاحب في السفر والخليفة في الأهل)) وقال في حديث الدجال: ((والله خليفتي على كل مسلم)) وكل من وصفه الله بالخلافة في القرآن فهو خليفة عن مخلوق كان قبله كقوله: {ثم جعلناكم خلائف في الأرض من بعدهم}. {واذكروا إذ جعلكم خلفاء من بعد قوم نوح وعد الله الذين آمنوا منكم و عملوا الصالحات ليستخلفنهم في الأرض كما استخلف الذين من قبلهم}. و كذلك قوله: {إني جاعل في الأرض خليفة} أي: عن خلقٍ كان في الأرض قبل ذلك، كما ذكر المفسرون و غيرهم. و أما ما يظنه طائفة من الاتحادية و غيرهم، أن الإنسان خليفة الله فهذا جهل و ضلال”. أهـ.

1 comments:

Juara Remaja Asia

9:46 am 1 Comments

1 comments:

Happy First Anniversary

9:06 am 1 Comments

Assalamualaikum.

Selamat bertemu kembali. Bermula 16 Julai, blog telah beroperasi seperti biasa. Mungkin anda tidak biasa dengan blog yang 'kosong' ini, tapi sukacita saya maklumkan proses upgrade masih berjalan. Jadi diharapkan anda bersabar dengan perubahan ini buat sementara waktu, sementara saya masih memerlukan alternatif seperti talian internet yang amat laju untuk meneruskan proses naik taraf blog ini. Mungkin selepas ini anda akan dapat melihat perubahannya yang ketara dari segi headline, kelajuan loading dan features yang baru. Stay tune for more cool stuff. 

SELAMAT ULANG TAHUN BLOG YANG PERTAMA.

p/s: tarikh hari ini jatuh pada permulaan Hijrah. 

1 comments: